Thursday, May 31, 2007

Kes Lina Joy: Apa yang perlu anda tahu?

Salam...


Alhamdulillah…Mahkamah Persekutuan telah membuat satu keputusan yang amat bersejarah semalam! Allahuakbar!

Keputusan penting yang mengiktiraf bidang kuasa Mahkamah Syariah secara mutlak. Secara langsung ia menolak hasrat Lina Joy memadamkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya. Inilah kemenangan moral yang tinggi kepada ummah di Malaysia. Namum agak sedih kerana majoriti umat Islam (Melayu?) masih tidak faham apa implikasi kes permohonan Lina Joy terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah terutamanya Perkara 121 (1a).


Isunya bukanlah sama ada Lina Joy boleh murtad ataupun tidak. Isunya adalah semua hal berkaitan Islam (murtad dan kes2 berkaitan agama Islam) dibawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, bukan Mahkamah Sivil. Seluruh dunia sudah tahu Lina Joy sudahpun murtad dari segi syarak. Itu pilihan dia, habis cerita. Itu urusan dia dengan Allah. Tapi urusan ummah belum selesai.



Umat Islam haruslah faham bahawa Perkara 121 (1a) dalam perlembagaan telah memberikan kuasa yang jelas kepada Mahkamah Syariah, dan ini haruslah kita pertahankan secara bersungguh-sungguh ke akhir hayat! Inilah sebenarnya yang kita bicarakan. Mahkamah Sivil tidak berhak campur tangan dalam urusan Mahkamah Syariah. Namun rata-rata umat Islam tidak mengerti. Mungkin terlalu malas untuk membaca dan mengetahui hak-hak mereka dalam perlembagaan persekutuan? Sehingga hak-hak mereka berani diperkotak-katikkan oleh orang bukan Islam? Kita lebih suka berhibur dan berseronok saja?



Terjaminkah kuasa Mahkamah Syariah dan hak agama Islam pada masa depan ditangan kita? Bagaimana dengan kuasa menyekat bukan islam meyebarkan dakyah kepada umat islam, Artikel 11(4)? Bukan provokasi yang diingini, tapi kita menuntut kesedaran.



Sebenarnya Islam tidak memerlukan kita. Islam adalah tinggi dan lebih tinggi/ mulia daripada yang lain. Kitalah sebenarnya yang memerlukan agama ini. Agar kita menjadi bangsa yang bermaruah dan mulia disisi Allah J



Wassalam…...


Ps: bersama ini dikembarkan satu artikel yang tersiar dalam Utusan Malaysia hari ini…







Jangan pinggirkan kuasa sebenar Mahkamah Syariah – Utusan Malaysia 31 Mei 2007



AKHIRNYA penantian yang sungguh lama sudah berakhir! Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 2-1 menolak permohonan Lina Joy @ Azlina Jailani bagi memadam perkataan Islam dalam kad pengenalannya. Perayu dalam petisyennya menamakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai ‘penghalang’ bagi beliau keluar daripada agama Islam. Sebenarnya, syarat yang dikeluarkan oleh JPN adalah mengikut prosedur kerana, kalau seseorang yang beragama Islam mahu keluar daripada agama Islam, platformnya ialah di Mahkamah Syariah. JPN tidak menafikan hak individu untuk menganuti apa-apa agama termasuk untuk keluar daripada agama Islam tetapi ia hendaklah mengikut saluran yang betul.

Memandangkan bidang kuasa masuk dan keluar Islam terletak secara eksklusif di bawah Mahkamah Syariah, sudah tentulah Lina Joy seharusnya memohon perisytiharan keluar daripada agama Islam di Mahkamah Syariah. Beliau tidak boleh sama sekali mengambil ‘jalan mudah’ dengan mengetepikan kuasa sebenar yang ada pada Mahkamah Syariah.

Memang benar, sehingga sekarang Wilayah Persekutuan masih belum mempunyai peruntukan untuk keluar daripada agam Islam, tetapi beliau tidak pernah memfailkan permohonan tersebut. Mungkin dengan keputusan ini, ada suara-suara yang mengatakan bahawa tiada hak kebebasan beragama bagi orang Islam di Malaysia. Jawapannya tidak tepat. Sama seperti di Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah, hak kebebasan beragama bersifat tidak mutlak. Terdapat pelbagai sekatan-sekatan demi menjaga kesejahteraan awam.

Sebenarnya, keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini tidak berbeza dengan keputusan-keputusan sebelum ini. Mahkamah Sivil tidak pernah melarang seseorang untuk keluar daripada agama Islam. Ini dapat dilihat dalam kes Soon Singh (1999) di mana Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam permohonan murtad. Mahkamah Syariah sahaja yang diberi kuasa untuk menentukan sama ada seseorang itu masih beragama Islam atau sebaliknya. Maka, syarat yang dikenakan oleh JPN menepati kehendak Perlembagaan di bawah Jadual Kesembilan Senarai Negeri - Senarai II yang memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa yang tersenarai.

Kemungkinan ada pihak yang mengatakan bahawa hak kebebasan beragama tidak terpakai ke atas orang Islam. Perspektif ini juga adalah salah. Di Malaysia, setiap individu bebas menganut dan mengamal ajaran agamanya kecuali pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam (Perkara 11 (1) dan 11 (4)). Mengikut Perlembagaan dan juga keputusan kes-kes sebelum ini, Mahkamah Sivil tidak pernah menafikan hak seseorang untuk keluar daripada agama Islam. Ia perlu mengikut saluran yang betul, yakni permohonan di Mahkamah Syariah.

Sebab-sebab

Persoalannya, di manakah remedi bagi Lina Joy? Dalam kajian saya, Negeri Sembilan merupakan satu-satunya negeri yang memperuntukkan prosedur untuk keluar daripada agama Islam. Tetapi pemohon hendaklah melalui satu sesi kaunseling bagi tempoh sehingga setahun. Tujuan kaunseling adalah untuk mengenal pasti sebab-sebab pemohon mahu keluar daripada agama Islam. Kalau pendidikan agama Islamnya cetek, maka tugas mereka adalah memberi tunjuk ajar supaya dia memahami agama Islam. Tetapi seandainya, setelah melalui sesi kaunseling tersebut, dan pemohon masih berdegil untuk keluar dari agama Islam, maka itulah pilihannya. Maka dengan rasa berat hati, mahkamah akan membuat perisytiharan bahawa individu tersebut bukan lagi seorang Islam.

Timbul masalah selepas perisytiharan tersebut. Kalau pemohon seorang Melayu, apakah beliau masih dianggap sebagai seorang Melayu? Ini kerana mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan, Melayu ertinya seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu dan menurut adat istiadat Melayu. Maka apabila seseorang yang beragama keluar daripada agama Islam, maka mengikut definisi ini, beliau tidak boleh lagi dipanggil sebagai seorang Melayu.

Kesimpulannya, keputusan yang penuh bersejarah ini akan melengkapkan pindaan Perlembagaan pada tahun 1988 terhadap Perkara 121 (1A) di mana Mahkamah Syariah merupakan platform sebenar dalam menentukan agama Islam seseorang. Adalah tidak tepat mengatakan bahawa Mahkamah Syariah tidak pernah meluluskan permohonan keluar daripada agama Islam. Di Negeri Sembilan, terdapat tiga pemohon berjaya murtad pada tahun 2006 (sehingga Ogos), lima pada tahun 2005 dan 84 dari tahun 1994 hingga 2003.

DR. MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL
Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam
Universiti Teknologi Mara

No comments: